Sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan jujur, berintegriti, beretika




Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Jun. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan agar Menteri-Menteri Kabinet baharu untuk sentiasa menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan jujur, berintegriti dan beretika dalam sama-sama memastikan jentera kerajaan sentiasa bebas daripada amalan kronisme, nepotisme atau sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan perkara berkenaan semasa Rang Titah Mukadimah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Ke-92 yang berlangsung di Istana Nurul Iman.


“Pada Mesyuarat kali ini, kita akan mendengarkan pembentangan daripada Menteri-Menteri Penyelaras berhubung fungsi, peranan serta mandat autoriti yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri-Menteri berkenaan.


“Beta mahu ketiga-tiga Menteri Penyelaras untuk membentangkan pelan yang telah dirangka, terutamanya mengenai mekanisme, koordinasi serta kerangka kerja penyelarasan yang akan diguna pakai," titah baginda lagi.


Kebawah DYMM seterusnya bertitah, begitu juga pembentangan daripada Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri perlu merangkumi rancangan-rancangan yang sudah disusun, termasuk penelitian terhadap mana-mana jabatan yang patut diserapkan ke dalam kementerian tersebut bagi memastikan proses peralihan akan dapat berjalan dengan lancar.


Titah baginda lagi, selepas mendengar pembentangan dari ketiga-tiga Menteri Penyelaras, ahli-ahli kabinet yang lain dialu-alukan untuk menyumbangkan buah fikiran serta pandangan yang bernas bagi memastikan penyelarasan dan penyeliaan terhadap tiga bidang keutamaan ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.


Terdahulu, Kebawah DYMM bertitah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana di atas limpah rahmat dan Inayah-Nya jua, Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Ke-92 dapat bersidang pada hari ini.


Kebawah DYMM dalam titah menjelaskan bahawa persidangan kali ini merupakan mesyuarat kali pertama Majlis Menteri-Menteri Kabinet yang baharu dilantik bagi tahun 2026 hingga 2030.


Sehubungan itu, baginda juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Menteri-Menteri di atas pelantikan ke dalam barisan Menteri-Menteri Kabinet yang baharu.


“Dalam kesempatan ini juga, beta sukacita ingin mengalu-alukan kehadiran paduka-paduka anakanda beta ke dalam barisan Menteri Kabinet dan Mesyuarat Menteri Kabinet.


“Beta percaya paduka-paduka anakanda beta akan dapat memainkan peranan penting di dalam Menteri Kabinet ini berdasarkan dari kecenderungan dan pengalaman mereka di dalam kerajaan sebelum ini," titah baginda lagi.


Kebawah DYMM seterusnya bertitah mengambil maklum bahawa pelantikan Menteri-Menteri Kabinet baharu telah mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara yang majoritinya disuarakan melalui media sosial.


Namun titah baginda lagi, secara keseluruhannya, barisan Menteri Kabinet yang baharu ini telah diterima baik. Dalam masa yang sama, reaksi yang diterima juga menyuarakan harapan terhadap Menteri-Menteri Kabinet yang baharu untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya dan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding penggal sebelumnya.


Sementara itu, titah baginda lagi, sebarang kritikan yang membina hendaklah dijadikan sebagai satu dorongan untuk sentiasa bermuhasabah diri dan sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.


Close